Kronisme Parti Pembangkang...
saya amat tertarik dgn tajuk akhbar utusan pada hari ini....dan intipatinya juga amat bernas ..syabas pengarang Aznan Bakar untuk tulisan beliau yg amat pedas itu.


CAKAP tidak serupa bikin atau kuman di seberang laut nampak tetapi gajah di depan mata tidak nampak.Itu merupakan antara perumpamaan dan peri bahasa yang menggambarkan situasi politik pembangkang sekarang.

Baik Pas, DAP mahupun PKR mereka tidak terlepas daripada unsur kronisme.

Biar apa pun alasan yang diberikan, namun amalan itu jelas menjadi amalan mereka.

Sedangkan pihak pembangkanglah yang mula-mula membangkitkan soal kronisme dan nepotisme. Atas nama integriti dan kebertanggungjawaban atau akauntabiliti, mereka mengkritik, menghentam dan mengecam apabila ada pelantikan ke jawatan-jawatan penting dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu dan pemberian kontrak serta agihan saham.

Pada hujung tahun 1990-an, muncul pihak-pihak tertentu yang menggunakan elemen kronisme ini untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan BN. Matlamatnya adalah untuk mengetepikan kepimpinan ketika itu.

Namun apabila didedahkan segala data dan fakta, terbukti amalan kronisme dan nepotisme itu sebenarnya lebih memihak kepada kumpulan yang menuduh. Namun istilah kronisme itu terus melekat dan menjadi mimpi ngeri kepada kerajaan BN hingga hari ini.

Soal pemberian kontrak dan jawatan kepada kawan-kawan, saudara mana, anak dan menantu sering dibangkitkan walaupun sebahagian besarnya tidak berasas dan tiada bukti.Ia tidak terhad kritikan sahaja. Tetapi turut membabitkan serangan peribadi hingga sampai ke tahap mengaibkan.

Namun semua itu diterima dan dianggap wajar oleh pembangkang kerana ia memberi kelebihan kepada mereka.
Dalam politik setiap orang sanggup melakukan apa sahaja bagi mencapai matlamat dan cita-cita tanpa mengira dasar perjuangan parti.

Matlamat menghalalkan cara merupakan perkara biasa. Apabila orang lain buat ia merupakan satu dosa. Namun apabila membabitkan diri sendiri ia halal dan dikatakan berasaskan merit.

Krisis terbaru dalam Pas membuktikan kronisme menjadi amalan dalam parti itu. Biar seseorang itu bertaraf ulama dan dipanggil dengan panggilan Tok Guru namun apabila sampai masa untuk mengisi jawatan-jawatan penting, anak dan menantu pasti menjadi keutamaan.

Jika dilihat daripada aspek biologi, memang sudah menjadi lumrah setiap makhluk di dunia ini untuk memberikan keutamaan kepada individu yang rapat dengan mereka. Jika bapa berkuasa ia pasti akan memberikan keutamaan kepada anak-anaknya. Jika anak-anak tidak layak atau tidak berminat maka menantu akan menjadi pilihan.

Oleh itu apabila Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melantik menantunya Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), ia bukan sesuatu yang luar biasa. Nama pun Perbadanan Menteri Besar, sudah tentu bukan satu kesalahan jika ia diterajui oleh menantu Menteri Besar.

Ini merupakan fitrah dan lumrah manusia. Sesuatu jawatan penting dalam agensi di bawah kerajaan negeri terutama yang membabitkan kewangan dan pelaburan tentu lebih baik diberikan kepada orang yang boleh dipercayai.

Dalam kes PMBK, sudah tentu Nik Abdul Aziz lebih mempercayai menantunya kerana beliau lebih mengetahui hati budi Abdul Ariffahmi berbanding orang lain.

Seperti kata Nik Abdul Aziz, menantunya itu mempunyai kelayakan daripada segi merit untuk menjawat jawatan itu.

Tetapi Mursyidul Am Pas itu mungkin tidak sedar, apabila bapa mertua melantik menantu dalam mana-mana jawatan yang ada kaitan dengan kerajaan yang dipimpinnya ia dinamakan kronisme.

Kritikan yang sama juga diberikan kepada BN dan UMNO jika berlaku lantikan yang membabitkan anak dan menantu termasuk yang dipilih sebagai calon pada pilihan raya.

Bukankah Pas dan parti pembangkang lain amat kuat menentang hal yang berkaitan dengan kronisme dan nepotisme ini?

Jika sebelum ini mereka membantah amalan kronisme, mengapa pula sekarang mengamalkannya?

Apabila sudah amalkan kronisme maka kenalah terima kritikan dan bantahan daripada rakyat. Apa yang dilakukan oleh pemimpin Pas itu ibarat ludah ke langit jatuh ke muka sendiri. Atau lebih jijik lagi, menjilat ludah sendiri.

Kalau diamati dan diteliti, amalan kronisme ini bukannya berlaku dalam Pas sahaja. Ia juga merupakan perkara biasa dalam DAP dan PKR.

Dalam DAP misalnya, boleh dikatakan sebahagian daripada wakil rakyatnya mempunyai pertalian darah. Ia sama ada anak dan bapa atau menantu dengan mertua. Tidakkah ini merupakan satu amalan kronisme yang dahsyat hingga menghalang peluang orang lain untuk sama-sama berbakti kepada rakyat?

Kalau individu itu bukan anak atau menantu kepada pemimpin tertentu amat sukar untuk mereka menjadi wakil rakyat. Jika dipilih sekalipun, ia adalah atas usaha dan kerja keras mereka.
Tetapi jika individu terbabit merupakan anak atau menantu kepada pemimpin tertentu, mereka tidak perlu membuktikan apa-apa. Tiba-tiba sahaja nama dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya. Selain itu, jawatan tertinggi juga boleh diwariskan kepada anak-anak seperti sistem monarki.

Yang mengecewakan, golongan ini merupakan yang paling lantang mengkritik amalan kronisme.
Tetapi realitinya ia merupakan sebahagian daripada budaya dan amalan mereka. Apabila ia terdedah seperti apa yang berlaku di Kelantan, media yang akan disalahkan.

Kononnya media membangkitkan hal-hal remeh yang tidak perlu dan tidak ada kaitan. Di mana tidak perlunya - kalau menantu seorang menteri besar dalam sekelip mata menjadi CEO sebuah agensi penting? PMBK merupakan agensi yang bertanggungjawab terhadap perjalanan kewangan dan pelaburan kerajaan negeri.

Sebab itu apabila menteri besar melantik menantu menerajuinya, sedikit sebanyak sudah tentu timbul kemusykilan. Jika Nik Abdul Aziz merasakan pelantikan itu telus dan memenuhi kriteria yang ditetapkan, beliau tidak harus bimbang dan tidak perlu pula melenting. Malah Abdul Ariffahmi jika telus, tidak perlu meletakkan jawatan.

Tetapi orang masih ingat setiap kata-kata dan ungkapan pemimpin-pemimpin pembangkang berhubung isu kronisme dan nepotisme dalam kerajaan BN dan UMNO. Ini bukan soal menyibuk atau mendedahkan aib sesiapa. Tetapi lebih kepada soal maruah dan prinsip serta integriti.
Jika kita menentang sesuatu amalan yang dikatakan kronisme dan nepotisme maka sebagai pemimpin hebat yang diberi taraf ulama, sewajarnya kita mengelakkan daripada melakukan perkara seperti itu, atau yang boleh menimbulkan syak wasangka.

Jangan jadi seperti ketam yang cuba mengajar anak berjalan dengan betul. Sedangkan diri sendiri tidak mampu melakukannya.
  • Satu Sekolah Untuk Semua

    Satu Sekolah Untuk Semua
    For a better Malaysian

    Visitor

    web counter

    Blog Archive

    Followers